fb fb fb fb fb

Hampir RM50 juta diluluskan KPKT bina kiosk dengan panel solar

(FOTO BERNAMA)

SEPANG, 28 Julai - Peruntukan sebanyak RM49.14 juta diluluskan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada 113 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi pembinaan dan menaik taraf 3,173 kiosk perniagaan yang dilengkapi panel solar.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata setakat ini sebanyak 100 kiosk telah siap dibina manakala baki 3,073 kiosk akan disiapkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

(Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming / FOTO BERNAMA)

"Kita bekalkan kiosk ini dengan imej baru, reka bentuk warna seragam di seluruh negara. PBT akan menguruskan, peniaga boleh memohon kepada PBT khususnya mereka yang tiada lesen," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran MyKiosk, di sini.

Tambah Nga, pemantauan secara berkala akan dilakukan PBT bagi memastikan kiosk tersebut tidak disewa kepada mana-mana pihak khususnya warga asing.

"Lesen perniagaan akan dibatalkan serta-merta sekiranya terdapat peniaga menyewakan kiosk mereka," katanya.

MyKiosk merupakan inisiatif membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan untuk kembali berdaya saing dengan menawarkan kadar sewaan tapak yang berpatutan.

Media Baharu