fb fb fb fb fb

Hampir 8,000 daripada 15,753 aduan kepenggunaan dilaporkan menerusi Aduan Suri

Fuziah Salleh mendengar penerangan mengenai produk tiruan daripada Ketua Unit Konsumerisme dan Kawalan Industri Seksyen Penguatkuasa KPDN Negeri Sembilan Jualiahana Zulkifli ketika melawat reruai pada majlis perasmian Hari Pengguna Kebangsaan dan Aduan Suri Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Centrio Seremban 2, hari ini / BERNAMA

SEREMBAN, 4 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima 15,753 aduan kepenggunaan, termasuk 7,711 aduan yang dilaporkan melalui Aduan Suri bagi tempoh Januari hingga April lalu. 

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh, aduan tertinggi menerusi platform Aduan Suri adalah berkaitan transaksi dalam talian iaitu sebanyak 2,105 diikuti aduan berkaitan harga sebanyak 1,978 dan perkhidmatan mengelirukan sebanyak 1,342.

"Seperti yang saya katakan pada tahun ini merupakan saluran aduan yang paling popular dan daripada 15,753 aduan, 7,715 adalah daripada Aduan Suri. Kita mahu lebih ramai orang tahu berkenaan Aduan Suri sebab cara itu paling mudah iaitu hanya guna kod QR,"katanya.
 
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan Tahun 2024 Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Centrio Seremban Dua.

Dalam pada itu, bagi tempoh sama, KPDN Negeri Sembilan telah merekodkan 479 aduan kepenggunaan dan sebanyak 443 daripada aduan tersebut telah berjaya diselesaikan. 

Aduan berkaitan harga barangan adalah aduan tertinggi diterima iaitu sebanyak 135 aduan, diikuti aduan mengenai transaksi dalam talian dan perkhidmatan mengelirukan masing-masing sebanyak 123 dan 58 aduan. 

KPDN Negeri Sembilan juga telah menerima sebanyak 231 aduan melalui saluran Aduan Suri dengan sebanyak 217 aduan berjaya diselesaikan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE