NIBONG TEBAL, 14 Julai - Kementerian Pendidikan (KPM) menasihatkan semua guru bawah kementerian itu agar berwaspada dalam menyertai program motivasi anjuran pihak luar yang pengisiannya tidak jelas.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kementerian itu sudah menyediakan panduan bentuk program pembangunan dan motivasi untuk guru termasuk sokongan kaunseling lebih sesuai berpandukan objektif pendidikan.
"Kita tidak tahu dari segi pengisian dan kalau boleh kita tumpukan perhatian kepada isu-isu di peringkat sekolah. Kita juga ada program-program pembangunan dan motivasi untuk guru.
"Selain itu kita juga ada kaunseling dan banyak program pembangunan untuk guru ini. Saya fikir kalau ada program yang tidak sesuai, ia perlu dielakkan. Jadi nasihat saya berhati-hati menyertai program-program di luar dan kita bagi tumpuan kepada motivasi dalam sistem pendidikan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Widuri di Sungai Bakap untuk melihat keberkesanan Program Anak Kita.
Sebelum ini, tular di media sosial berhubung program motivasi rumah tangga dikenali sebagai eHATI didakwa mengandungi unsur mencolok mata serta bercanggah dengan ajaran Islam.
Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar mengesahkan kertas inkuiri telah dibuka bagi mengenal pasti kesalahan jenayah berhubung program motivasi berkenaan yang didakwa tidak bermoral.