KOTA BHARU, 14 Julai - Direktori Masjid Pelancongan versi digital yang diperkenalkan menerusi laman mymuslimtrip.com kini menjadi panduan mesra pengguna kepada pelancong dan pemain industri untuk meneroka masjid-masjid di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, direktori itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan pelancong, sama ada untuk beribadah, lawatan budaya atau merasai pengalaman warisan Islam.
"Pemilihan masjid ini di lakukan oleh pihak Islamic Tourism Centre (ITC) dan kita akan turun ke lokasi yang dilihat sebagai potensi besar untuk kita masukkan dalam direktori.
"Supaya ia memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan ITC. Paling penting ekosistem itu juga sesuai dan selesa untuk para pelancong," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Mosque Tourism Roundtable 2025 dan pelancaran Direktori Masjid Pelancongan di sini.
Setakat ini, 51 buah masjid telah disenaraikan dalam direktori tersebut, antaranya Masjid Jamek Muhammadi di Kelantan, Masjid Putra di Putrajaya dan Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.
Mengenai Mosque Tourism Roundtable 2025, Datuk Khairul Firdaus berkata pelancongan masjid bukan sahaja menawarkan nilai tambah kepada industri pelancongan, malah menjadi jambatan untuk menghubungkan pengunjung dengan nilai, warisan dan kesederhanaan Islam.
Pelancongan masjid dilihat sebagai sektor yang sedang berkembang pesat dan berperanan penting dalam pembangunan pelancongan Islam secara mampan, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan Islam dunia.