fb fb fb fb fb

Gulfood 2024, Malaysia catat nilai jualan RM1.49 bilion

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Mac- Syarikat Malaysia merekodkan nilai jualan RM1.49 bilion menerusi pameran makanan terbesar dunia, Gulfood 2024, Dubai pada Februari lalu.

Jumlah berkenaan merupakan peningkatan ketara 57.9 peratus berbanding penyertaan tahun sebelumnya yang mencatat jualan RM943.46 juta.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata peningkatan disumbang penambahan jumlah penyertaan syarikat Malaysia, selain tempoh pameran yang panjang.

Daripada keseluruhan nilai jualan direkodkan, sejumlah RM579.1 juta adalah hasil jualan sebenar manakala RM916.75 juta Lagi adalah nilai jualan berpotensi.

Pencapaian itu mencerminkan keupayaan syarikat Malaysia, khususnya dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam menembusi pasaran global.

Produk minyak sawit merupakan kategori yang mencatat jualan tertinggi dengan nilai RM877.50 juta bersamaan 58.8 peratus.

Sebanyak 80 syarikat Malaysia terlibat acara lima hari itu berlangsung di Dubai, dari 19 hingga 23 Februari lalu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM