fb fb fb fb fb

Guam berhasrat jalin kolaborasi pelancongan, budaya dengan Malaysia

Mark Manglona/ RTM

GUAM, 6 Disember - Guam menyatakan komitmen untuk memperkukuh kolaborasi dengan Malaysia dalam usaha mempromosikan budaya dan destinasi pelancongan pada masa hadapan, susulan kejayaan penganjuran Festival Tarian Antarabangsa di sini.

Pengurus Pemasaran Kanan Amerika Utara Asia Pasifik, Mark Manglona, yang pernah berkunjung ke Malaysia, berkata Malaysia mempunyai keunikan budaya yang mempunyai persamaan dengan Guam wajar diketengahkan bersama di pentas antarabangsa.

"Kami ingin bekerjasama dengan pihak pelancongan Malaysia pada masa hadapan bagi menjalinkan kolaborasi terutama dalam bidang budaya dan destinasi, dalam masa sama dapat membawa lebih banyak kumpulan dari Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Festival Tarian Antarabangsa di Guam dilihat sebagai medium dalam memperkukuh jaringan kerjasama budaya antara negara, bukan sahaja melalui persembahan tariannya, tetapi juga menerusi pertukaran seni, warisan dan identiti budaya secara lebih mendalam.

Selain mempromosikan seni budaya, festival berkenaan turut membuka peluang strategik untuk meneroka potensi pasaran halal di Guam, sekali gus mengukuhkan kerjasama ekonomi dan pelancongan antara Malaysia dan Guam.

Festival yang berlangsung selama empat hari itu menghimpunkan kumpulan tarian dari pelbagai negara termasuk Jepun, Korea Selatan, India dan Malaysia, menjadikannya sebagai medan pertukaran budaya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI