SINTOK, 21 November - Tuanku Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah meminta graduan UUM agar lebih progesif mengembangkan potensi diri dengan memanfaatkan bidang baharu.
Titahnya, dunia kini telah berubah dengan cepat dan banyak industri baru muncul setiap hari.
"Industri teknologi hijau merupakan industri baharu yang sedang berkembang dan ditambah lagi dengan penemuan rekod statistik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menyatakan bahawa negeri Kedah merupakan salah satu negeri penyumbang terbesar tenaga hijau dalam negara kita.
"Kebanyakan pengeluaran tenaga hijau datang dari beberapa ladang solar yang terdapat di negeri ini, malah masih terdapat tenaga hijau yang masih belum diterokai seperti kuasa hidro, loji biojisim dan loji tenaga nuklear," titahnya pada sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM, petang ini.
Tunku Shazuddin Ariff yang juga Tunku Mahkota Kedah turut bertitah, pembangunan adalah penting tetapi elemen penjagaan alam sekitar seharusnya menjadi agenda utama dan tiada cara lain yang lebih berkesan untuk melakukannya melainkan terlibat secara langsung, atau tidak langsung dalam bidang teknologi hijau.
Di samping itu, Tunku Mahkota Kedah juga menekankan tentang penguasaan Bahasa Inggeris terutamanya dalam dunia profesional yang akan dihadapi oleh graduan.
Titahnya, dalam dunia global sekarang, wujudnya kepentingan untuk mempelajari dan menguasai bahasa-bahasa antarabangsa, bukan sahaja Bahasa Inggeris, tetapi Bahasa Mandarin dan Bahasa Arab juga patut diberikan keutamaan.
"Kemahiran menguasai lebih dari satu bahasa amat penting kerana ianya menjadi jambatan kepada keberkesanan komunikasi serta peningkatan kepada kemahiran dan kemajuan diri.
"Pembelajaran kita tidak berhenti di sini dan komitmen tersebut harus diteruskan lagi meskipun sudah bergelar graduan UUM yang telah melalui sesi pembelajaran sepanjang hayat ini. Teruskan belajar dan menimba ilmu, cuma kali ini graduan perlu melakukannya sendiri.
"Apabila seseorang itu berhenti belajar, maka kemajuan diri juga turut sama terhenti," titah Tuanku Pro-Canselor.
Tunku Mahkota Kedah berharap graduan UUM kembangkan potensi diri selari dengan era globalisasi pada masa kini, teruskan usaha menguasai bahasa-bahasa antarabangsa dan teruskan belajar bagi memajukan diri.