KUALA LUMPUR, 21 November– “Tidak semua orang diberi peluang untuk menjadikan tarikh lahirnya hari paling bermakna dalam hidup,” kata Ainul Athirah Ainul Hisham, graduan cemerlang yang melakar sejarah peribadi pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-100.
Tanggal 18 November, hari lahirnya yang ke-26, menjadi lebih istimewa apabila beliau sekali lagi menyarung selempang Anugerah Naib Canselor (ANC) – simbol kecemerlangan akademik yang bukan calang-calang.
Melakar langkah pertama
Berasal dari Bandar Baru Bangi, Ainul adalah produk cemerlang Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka. Beliau mengimbau kenangan awal sebagai pelajar Diploma di UiTM Lendu, permulaan kesungguhan mula bercambah. Kini, sebagai pemegang Ijazah Sarjana Komunikasi Perhubungan Awam dengan CGPA 3.75, Ainul memacu masa depannya sebagai pegawai di Malaysia Airlines.
“Cabaran dalam mencari pekerjaan memang besar, tetapi saya percaya bidang Perhubungan Awam melatih saya menjadi lebih fleksibel. PR membuka banyak pintu – pemasaran, komunikasi korporat, dan sebagainya. Itu kelebihan yang saya manfaatkan,” ujarnya dengan penuh keyakinan.
Cabaran pandemik: Pengorbanan berbaloi
Tidak semua perjalanan ini mudah. Ainul merupakan salah seorang mangsa Covid-19 yang menguji mental dan fizikalnya. “Saya dijangkiti Covid-19 ketika hampir penghujung semester, tetapi kerana terbiasa bersiap awal, tugasan dapat diselesaikan tepat pada masanya,” kongsinya.
Pengalaman itu menjadi titik penting dalam memupuk disiplin dirinya – bukti bahawa persediaan awal dan daya tahan adalah kunci kejayaan.
Aktif dan berimpian besar
Di sebalik buku dan tugasan, Ainul aktif sebagai Setiausaha Agung Institute of Public Relations Malaysia Students Association (IPRMSA). Penglibatan ini, katanya, memberi perspektif yang luas tentang dunia profesional PR yang dinamik.
Sebagai anak sulung daripada dua beradik, Ainul menjadikan keluarganya sebagai inspirasi utama. Dengan sokongan tidak berbelah bahagi mereka, beliau kini memasang impian untuk melanjutkan pelajaran di luar negara dalam bidang Komunikasi Media.
“Saya percaya, jika kita terus tekun dan fokus, kejayaan itu pasti datang. Dua ANC ini hanya permulaan,” kata Ainul, penuh harapan.