fb fb fb fb fb

GPS setuju bergabung dengan PN, BN dan GRS, bentuk kerajaan Persekutuan

KUCHING, 20 November - Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersetuju untuk membentuk gabungan bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keputusan itu dibuat demi mengukuhkan dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

(Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam sidang media khas di Kuching)

"Demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara kita terpelihara, maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat haruslah dibentuk dengan kadar segera," katanya.

Bercakap dalam sidang media khas di Kuching, beliau menjelaskan kepentingan negara adalah keutamaaan pada ketika ini dan bukannya meletakkan kepentingan parti.

"Dunia dan negara kita bakal berhadapan dengan cabaran krisis ekonomi dan keadaannya dijangka akan menjadi lebih genting pada tahun hadapan," katanya.

Abang Johari, yang juga Premier Sarawak berkata asas GPS untuk membentuk kerajaan gabungan itu adalah untuk menegakkan keluhuran perlembagaan Persekutuan dan Sarawak, Perjanjian Malaysia 1963 serta Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan.

Katanya persetujuan GPS juga mengambil kira autonomi Sarawak dalam pembangunan pendidikan dan kesihatan serta kepentingan lain negeri itu.

Media Baharu