MOSCOW, 14 Mei - Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan Malaysia perlu sentiasa bersedia merebut peluang sekiranya hubungan antara Rusia dan Amerika Syarikat kembali pulih.
Beliau berkata, Rusia merupakan negara yang kaya dengan sumber dan berpotensi besar dalam bidang teknologi, sekali gus membuka ruang kerjasama yang luas kepada Malaysia.
Datuk Seri Mohamad turut menasihati pelajar Malaysia agar terus menjaga nama baik negara dan pulang untuk menyumbang khidmat bakti, khususnya dalam bidang kritikal seperti perubatan dan kejuruteraan.
Beliau ditemui pada sesi Bertemu Rakyat Malaysia sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Rusia bermula Selasa.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.