fb fb fb fb fb

Proses undi luar negara akan dipermudah - Perdana Menteri

Perdana Menteri meluangkan masa bertemu kira-kira 100 rakyat Malaysia di Rusia.

MOSCOW, 14 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan mempermudah proses pengundian bagi rakyat Malaysia di luar negara menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Beliau menegaskan bahawa setiap rakyat Malaysia, termasuk di perantauan, mempunyai hak yang sama untuk mengundi, dan menyeru supaya teknologi moden dimanfaatkan bagi menjamin sistem yang lebih cekap dan telus.

"Anak-anak kita di luar negara hilang hak mengundi… sistem sekarang menyukarkan, undi dihantar bertahun-tahun, itu tidak boleh berlaku jika kita mahu suatu sistem yang telus."

Anwar berkata demikian dalam pertemuan bersama kira-kira 100 rakyat Malaysia di Moscow, selepas mendengar keluhan pelajar tentang kesukaran mengundi dan mengakses laman kerajaan dari luar negara.

Dalam perkembangan sama, pelajar Malaysia di Rusia melahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan mereka di perantauan.

Nur Aisyah Abd Rashid berkata, peluang yang diberikan oleh kerajaan untuk melanjutkan pelajaran di luar negara akan dimanfaatkan sepenuhnya, dan ilmu yang diperoleh akan dipulangkan kembali demi pembangunan negara.

Bagi Nur Maisara Mohd Marino pula, pertemuan bersama Perdana Menteri membakar semangatnya untuk pulang dan berkhidmat di Malaysia, meskipun ramai pelajar luar negara cenderung untuk terus menetap di luar.

Sementara itu, Anas Fauzan Mohd Sofi menyifatkan pertemuan tersebut sebagai satu pengalaman bermakna dan membuka mata tentang tanggungjawab mereka sebagai anak Malaysia untuk kembali menyumbang kepada negara.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI