fb fb fb fb fb

Tambang percuma mampu kurangkan kos sara hidup - Golongan OKU

Gambar hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Disember - Tambang percuma bagi perkhidmatan pengangkutan awam Prasarana kepada pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) pengumuman yang amat dinanti-nantikan golongan berkenaan.

Bukan sahaja mampu meringankan beban, bahkan inisiatif itu turut memudahkan kebolehcapaian komuniti tersebut terutamanya bagi OKU penglihatan.

Antaranya, Muhamad Mazwan Muhamad Shakri, yang merupakan pengguna tetap perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) dan monorel.

Menerusi inisiatif tambang percuma, beliau mampu mengurangkan perbelanjaan lebih RM50 bagi kos pengangkutannya setiap bulan.

"Benda yang lama saya inginkan, Alhamdulillah dilaksanakan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, saya rasa sangat bersyukur dan berterima kasih," katanya.

"Memang kebanyakkan OKU di bandar Kuala Lumpur dan Selangor ni pengangkutan awam banyak, kita memang akan guna LRT, monorel MRT semua kita akan guna. Jadi saya rasa sangat terharu dan bersyukur kerana dapat mengurangkan sikit kos sara hidup di bandar ini," kata Norfarahin Norzaini

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, Mohammed Nazari Othman berkata, inisiatif ini merupakan kesinambungan kepada usaha memperkasa golongan OKU serta bukti kerajaan sentiasa cakna dan prihatin terhadap kebajikan mereka.

"Kami hargai juga kerana sebelum ini, kerajaan melalui MOT mengumumkan tambang percuma untuk perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan antaranya komuter dan ETS. Selepas beberapa bulan kemudian pihak menteri juga mengumumkan beberapa destinasi bas untuk tambang percuma," katanya.

Semalam, kerajaan memberi tambang percuma kepada pemegang OKU yang menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bermula 1 Februari 2024.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tambang percuma itu termasuk semua perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas di Lembah Klang.

GRACE AISYAH KEDAYAN