fb fb fb fb fb

PLUS aktifkan laluan SmartLane di lokasi kritikal sempena musim cuti

Pengaktifan laluan SmartLane adalah bagi membantu menyuraikan trafik berikutan peningkatan trafik yang dijangka berlaku pada musim cuti sekolah, perayaan Krismas dan Tahun Baharu yang akan datang / Foto PLUS

PETALING JAYA, 22 Disember - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan laluan SmartLane di beberapa lokasi kritikal di sepanjang lebuh raya kendaliannya.

Ini bagi membantu menyuraikan trafik berikutan peningkatan trafik yang dijangka berlaku pada musim cuti sekolah, perayaan Krismas dan Tahun Baharu yang akan datang.

Tertakluk kepada keadaan trafik semasa, PLUS memaklumkan laluan SmartLane akan diaktifkan di laluan antara Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai (KM19.0 hingga KM27.0 - Arah Utara) bermula hari ini hingga 1 Jan 2024, dari 8 pagi hingga 6 petang.

Laluan lain yang terlibat ialah dari Persimpangan Port Dickson ke Persimpangan Seremban (KM260.0 hingga KM263.1 - Arah Utara) bermula esok hingga 25 Disember dan dari 29 Disember hingga 1 Jan 2024, antara 9 pagi hingga 10 malam.

"PLUS juga bersiap sedia untuk mengaktifkan laluan SmartLane, di laluan Gua Tempurung - Gopeng (KM306.7 hingga KM297.0 - Arah Utara), Slim River - Sungkai (KM366.8 hingga KM354.0 - Arah Utara) dan dari Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang - Persimpangan Sungai Buaya (KM439.5 – KM435.5 - Arah Utara)," kata PLUS menerusi kenyataan, hari ini.

PLUS turut menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan kenderaan yang dipandu berada dalam keadaan baik, bersedia secara fizikal dan mental untuk perjalanan jauh dan lebih berhati-hati ketika memandu semasa musim hujan.

"Pengguna lebuh raya juga digalakkan untuk berhenti rehat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau hentian sebelah sebelum menyambung semula perjalanan," kata PLUS.

Pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi My-TTA, Aplikasi X @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) dilokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN