fb fb fb fb fb

Lesen peniaga boleh dibatal, digantung jika sewakan premis kepada warga asing

Dr Zaliha pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kasih Harapan Kak Wan Siri 3, yang disempurnakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di sini hari ini.

KUALA LUMPUR, 22 Disember- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membatalkan atau menggantung sementara lesen peniaga di Jalan Silang di sini, yang didapati melanggar peraturan perniagaan dengan menyewakan premis mereka kepada warga asing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata lesen yang diberikan kepada peniaga bukan untuk diberikan kepada warga asing berniaga.

"Yang terbaik bagi saya ialah kita meneruskan lagi operasi sebegitu di premis-premis yang lain. Saya ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut sebab bagi saya ini adalah satu masalah legasi di Kuala Lumpur tentang kebanjiran warga-warga asing ini," katanya.

Dr Zaliha berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kasih Harapan Kak Wan Siri 3, yang disempurnakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya kini menunggu maklumat menyeluruh daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melaksanakan operasi bersepadu itu di Jalan Silang semalam.

Semalam, seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin ditahan hasil serbuan terhadap 60 premis di sekitar Jalan Silang, hasil daripada operasi bersepadu yang dijalankan PGA PDRM bagi membanteras jenayah yang berlaku sekitar kawasan itu.

Sementara itu, Dr Zaliha dalam ucapannya berkata program Rumah Harapan Kasih Kak Wan merupakan penghubung antara masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan dengan pelbagai agensi kerajaan, korporat dan pertubuhan bukan kerajaan yang sedia menghulurkan bantuan dan perkhidmatan bagi kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, program itu yang menyediakan kemudahan pengubahsuaian tanpa kos kepada penduduk terpilih bagi mengubahsuai satu unit rumah, menunjukkan kerajaan komited untuk meningkatkan lagi taraf hidup rakyat khususnya rakyat miskin bandar supaya dapat memperbaiki persekitaran rumah.
 

ZEHRA BINTI ZAMBRI