KUALA LUMPUR, 20 Oktober - Golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak berumur bawah lima tahun dan warga emas berusia 65 tahun ke atas digalakkan mendapatkan suntikan vaksin influenza sebagai langkah pencegahan daripada komplikasi jangkitan serius.
Turun disaran berbuat demikian, individu yang menghidap penyakit kronik.
Pengarah Cardiovascular Advancement And Research Excellence Institute (CARE Institute) Universiti Teknologi MARA, (UiTM), Profesor Dr Sazzli Shahlan Kasim berkata, ahli keluarga yang menjaga golongan berisiko tinggi juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga.
Termasuk memastikan mereka mendapat suntikan vaksin influenza mengikut saranan pihak kesihatan.
"Langkah pencegahan utama adalah untuk mengelakkan transmisi virus ini sendiri. Amalkan penjagaan dengan kerap membersihkan tangan dan elakkan batuk kepada mereka yang berisiko tinggi."
"Sekiranya perlu batuk atau selesema pastikan kita memakai face mask (pelitup muka) atau tisu. Kepada mereka yang berisiko orang-orang tua dan juga dewasa yang mempunyai penyakit elakkan untuk bercampur dengan anak-anak muda atau mereka yang ada gejala-gejala ini."
" Lakukan sosial distancing (penjarakan sosial), kita dinasihatkan untuk berdiri dalam satu ke satu ke lima meter daripada individu yang terdedah untuk mengelakkan jangkitan virus itu sendiri," katanya lagi ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1.
