KUCHING, 20 Oktober - Komuniti India di Sarawak disifatkan sebagai antara penyumbang penting dalam memperkukuh perpaduan dan pembangunan negeri walaupun merupakan minoriti dari segi jumlah penduduk.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata komitmen komuniti India yang sentiasa memainkan peranan aktif dalam membina keharmonian sosial menjadi bukti bahawa perpaduan adalah kekuatan sebenar Sarawak.
“Walaupun komuniti India ini kecil bilangannya, namun memainkan peranan yg sangat penting dalam usaha membangunkan Sarawak, termasuk meraikan dan berkongsi perayaan ini bersama seluruh rakyat Sarawak
"Semoga perayaan ini terus menyinari Sarawak agar kita dapat terus menyumbang, hidup sihat, dan bersama membangunkan Sarawak. Semoga aspirasi 2030 kita akan tercapai dan berkekalan untuk tempoh yang panjang,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Presiden Kuil Sri Maha Mariamman Datuk Shankar Ram Asnani di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Rumah yakin bahawa kekuatan sebenar Sarawak bukan sahaja terletak pada kemajuan ekonominya, tetapi pada keupayaan rakyat pelbagai kaum untuk saling meraikan budaya dan perayaan antara satu sama lain.