PUTRAJAYA, 23 September - Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil alih aspek pendidikan bagi lebih 300 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global, mulai 1 Oktober ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, program pendidikan untuk kanak-kanak tercicir berkenaan, yang tidak mendapat sebarang pendidikan formal sebelum ini, akan menggunakan modul khas di tempat perlindungan mereka.
"Proses pendidikan itu akan berlaku di tempat mereka dilindungi. Ketika ini mereka sedang melalui beberapa penilaian termasuk aspek 3M (membaca, menulis, mengira) dan psikososial."
"Selepas selesai semua sesi, baru KPM akan ambil alih bagi aspek pendidikan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan KPM di sini, hari ini.
Fadhlina berkata pendidikan berdasarkan modul khas itu mengikut tiga kohort iaitu prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.