ARAU, 13 Mac- GiatMARA Perlis melaksanakan program Singgah Sahur Ihya Ramadan bagi menyemarakkan bulan Ramadan disamping menyantuni para pelatih yang berjauhan dengan keluarga.
Program tersebut bagi menzahirkan sokongan kepada 14 pelatih yang berasal dari Kedah, Kelantan dan Selangor yang bermusafir ke negeri Perlis bagi mendalami ilmu kemahiran di GiatMARA Arau, Padang Besar dan Kangar.
Menurut Pengarah GiatMARA Negeri, Harun Radzi, menerusi program berkenaan, pengurusan serta tenaga pengajar GiatMARA dapat bersama-sama pelatih terbabit bersahur dan berkongsi rezeki yang secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan antara satu sama lain.
Program dilaksanakan setiap kali Ramadan itu juga dapat meringan beban pelatih dengan setiap pelatih terlibat turut menerima sumbangan kotak makanan yang mengandungi barangan keperluan harian bagi dimanfaatkan sepanjang Ramadan.
Beliau memaklumkannya pada Program Singgah Sahur di GiatMARA Arau yang turut disertai tenaga pengajar GiatMARA Arau, Padang Besar dan Kangar yang turut bersahur bersama pelatih yang hadir.
Terdahulu, bagi memeriahkan sahur kali ini, kelainan turut dilaksanakan tenaga pengajar dengan mengejutkan pelatih terbabit menggunakan Gendang Silat bagi mengembalikan nostalgia lama dalam bersahur khususnya di kampung.