ARAU, 9 Mac- GiatMARA Padang Besar dan Arau mengambil inisiatif untuk melaksanakan Program Istiqbal Ramadan khusus buat pelatih dan tenaga pengajar, sempena menyambut bulan Ramadan yang menjelang tiba.
Program dihadiri lebih 100 pelatih dan tenaga pengajar bagi menaikkan semangat untuk menyambut bulan Ramadan dengan penuh rasa syukur, gembira dan bahagia.
Menurut Pengarah GiatMARA Negeri, Harun Radzi, program ini juga adalah bagi mengajak pelatih dan tenaga pengajar untuk menjadikan Ramadan kali ini sebagai yang paling bermakna dan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti santapan kerohanian.
"GiatMARA mengharapkan Ramadhan kali ini membawa sinar rahmat dan berkat kepada seluruh pelatih dan warga kerja GiatMARA Perlis bersama keluarga khasnya serta muslimin dan muslimat supaya merebut ganjaran pahala yang terhidang dalam bulan mulia ini dan semoga istiqamah menghiasi bulan Ramadan kali ini", katanya pada Program Istiqbal Ramadan yang diadakan di GiatMARA Arau, anjuran Biro Agama GiatMARA Perlis.
Pelatih dan tenaga pengajar turut bergotong royong menyediakan hidangan untuk program kali ini dengan penuh semangat muhibbah, kerjasama dan saling hormat menghormati untuk bersama-sama menjayakan program.