fb fb fb fb fb

GIACC diserap ke SPRM

(SPRM)

PUTRAJAYA, 9 Mei- Fungsi Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) kini diserap ke dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuat kuasa pada 18 April lalu.

Menurut SPRM, enam fungsi utama GIACC iaitu menasihati kerajaan, menyelaras pelaksanaan inisiatif, menilai tahap keberkesanan, merancang strategi, memantau dan melapor dapatan tindakan berkaitan governans, integriti dan antirasuah akan diteruskan di bawah SPRM bagi memastikan kesinambungan momentum pelaksanaan dasar-dasar kerajaan berkaitan governans, integriti dan antirasuah.

"GIACC juga kini dikenali sebagai Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (National Anti-Corruption Plan - NACP) yang sebelum ini dipantau pelaksanaannya oleh GIACC telah diambil alih oleh BPGN, SPRM.

Pelan tersebut yang dilancarkan pada 29 Januari 2019 adalah iltizam yang ditunjukkan oleh negara selari dengan semangat yang terkandung dalam United Nations Convention against Corruption (UNCAC) yang mana Malaysia adalah salah sebuah negara anggota apabila menandatangani konvensyen ini pada 1 Disember 2003.

Artikel 5 konvensyen itu menetapkan bahawa sesebuah negara perlu mempunyai dasar dan strategi antirasuah yang didokumenkan. Sehubungan itu, NACP adalah bersifat merentas masa, "living document", dan mengambil kira dasar dan keperluan semasa.

"Setelah mengambil kira Laporan Semakan Semula Separuh Penggal NACP yang diterbitkan pada tahun 2021 dan juga tindakan yang telah diambil oleh Ketua Agensi Peneraju ke atas inisiatif-inisiatif NACP, status pelaksanaan inisiatif yang digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 telah menunjukkan kemajuan, walaupun negara berdepan masalah pandemik COVID-19," katanya.

SPRM berkata, hingga 31 Disember 2022, daripada keseluruhan 111 inisiatif NACP yang dipantau, sebanyak 62 inisiatif telah selesai pelaksanaan, dan penyiapan adalah di peringkat pengeluaran output iaitu bersamaan dengan 55 peratus. Ini menjadikan baki inisiatif yang kini dipantau adalah sebanyak 49 inisiatif.

Daripada 49 inisiatif yang masih dalam tindakan Ketua Agensi Peneraju, 39 inisiatif dijangka dapat menepati masa dan diselesaikan sebelum penghujung Disember 2023 bersamaan dengan 91 peratus pencapaian secara keseluruhan pelaksanaan NACP.

Sebanyak 10 inisiatif didapati berkemungkinan melewati tahun 2023 disebabkan oleh kompleksiti pelaksanaan yang membabitkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan, pindaan perundangan semasa serta pewujudan perundangan baharu.

Justeru, SPRM optimis dengan pelaksanaan NACP 2019-2023 serta komited untuk menyelesaikan baki inisiatif-inisiatif yang belum dilaksanakan.

Komitmen Ketua Agensi Peneraju kepada inisiatif NACP 2019-2023 serta semua pihak dalam menjayakan usaha murni melalui pelaksanaan NACP adalah suatu manifestasi terhadap kesungguhan menuju sebuah negara bebas rasuah yang memartabatkan integriti serta kebertanggungjawaban berpaksikan ekosistem governans yang baik.

(Bangunan pejabat SPRM Putrajaya)

Media Baharu