fb fb fb fb fb

Gerakan koperasi di Kedah terus tunjuk perkembangan positif

Program Pemerkasaan dan Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Kedah Tahun 2025 , Alor Setar

ALOR SETAR, 3 Disember - Gerakan koperasi di Kedah terus membuktikan keupayaannya sebagai pemacu ekonomi negeri apabila 1,051 koperasi dengan keahlian seramai 277,359 anggota berjaya merekodkan perolehan RM238.47 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, dengan nilai aset terkumpul berjumlah RM733.14 juta.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri, Norzila Nayan berkata, pencapaian sektor koperasi adalah hasil usaha dan perancangan yang telah disusun secara kolektif semua pihak dengan mengambil kira kesesuaian dan perubahan sosio-ekonomi semasa.
 
Ia termasuk transformasi yang dilakukan terhadap dasar-dasar koperasi sedia ada, bagi mengimbangi cabaran ekonomi semasa.
 
Bagi tujuan itu, SKM yang bertindak sebagai agens menerajui kecemerlangan koperasi turut melakukan pelbagai perubahan dasar dan peraturan bagi memastikan sektor koperasi terus mampan dan berdaya saing di semua peringkat.
 
"Kepada semua koperasi agar mengambil peluang untuk memohon samada pinjaman atau bantuan yang bersesuaian dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan agar koperasi dapat melangkah lebih jauh serta memberi impak besar kepada anggota masing-masing," katanya pada Program Pemerkasaan dan Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Kedah Tahun 2025 di sini.
 
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada lima koperasi dari Kedah yang telah tersenarai dalam Profail 100 Koperasi Terbaik Malaysia Tahun 2025.
 
Koperasi-koperasi tersebut adalah Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Kedah Bhd (4), Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah Berhad (23), Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Daerah Kulim Bhd (24), Koperasi Pembangunan Daerah Langkawi Berhad (35) dan Koperasi Pasar Melayu Baling Berhad (61).
 
Norzila turut melancarkan Buku Profil 50 Koperasi Terbaik Negeri Kedah Tahun 2025 yang menyenaraikan 50 koperasi di negeri itu yang telah dinilai sebagai koperasi terbaik bagi tahun 2025 melibatkan 40 koperasi dewasa terbaik dan 10 koperasi sekolah terbaik.
 

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN