fb fb fb fb fb

Generasi muda perlu bijak, elak politik toksik

Nga Kor Ming

KLANG, 17 November- Golongan muda perlu bijak selain diingatkan supaya tidak mudah terjebak dengan politik toksik dan mencetuskan ketegangan perkauman.

Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming berkata perkara negatif berkenaan dilihat akan memberi kesan dalam perpaduan kaum di negara ini.

Beliau juga mahu negara mengangkat martabat dengan penyatuan semua kaum dalam membentuk landskap politik baharu untuk memangkin keharmonian negara.

"Keamanan, keharmonian adalah kunci pembangunan negara. Tanpa keamanan, tanpa keharmonian, segala perancangan dan pembangunan akan sia-sia sahaja," katanya.

Beliau menegaskan perkara itu ketika berucap pada pemilihan Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY 2024-2027 di sini.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menyarankan ahli parti agar sentiasa turun padang bertemu rakyat dalam memahami isu yang dihadapi tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dan Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How.

Selain itu semangat perpaduan yang diterjemahkan dalam pemilihan Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY 2024-2027 membentuk pasukan berbilang kaum terdiri daripada Melayu, Cina dan India juga adalah cerminan perpaduan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI