KUALA LUMPUR, 17 November- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah memanggil lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu untuk dirakam percakapan.
Perkara itu berhubung dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di Sabah.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah menerima aduan mengenai seorang ahli perniagaan yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah berkaitan projek itu.
"Siasatan awal berhubung aduan berkenaan telah membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah yang disyaki terlibat isu dakwaan rasuah membabitkan ahli perniagaan berkenaan.
"Setakat ini, lima orang ADUN telah dipanggil untuk dirakam percakapan dan siasatan masih giat dijalankan," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun SPRM mahu orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu selain memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan dengan telus dan menyeluruh.
Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan mengenai beberapa rakaman video memaparkan ADUN didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan syarikat untuk projek di sebuah negeri.
Perbincangan dalam video tular berkenaan membabitkan ahli perniagaan yang meminta ahli politik termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, memulangkan wang itu apabila lesen untuk projek berkenaan dibatalkan.
Namun menerusi rakaman berkenaan wajah ahli perniagaan terlibat tidak kelihatan dan video percakapan pada ketika itu dirakam sebelum tular.