SERDANG, 11 Ogos- Pelbagai langkah advokasi akan dilaksana bagi menggalakkan generasi muda untuk berkecimpung dalam program kebun komuniti atau 'kebuniti', menurut Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa.
Ia antara lain dengan mengetengahkan penggunaan mekanisasi dan pendedahan teknologi pertanian bagi menarik minat golongan muda dan meningkatkan pengeluaran bahan makanan seperti yang dapat dilihat di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022.
(Program kebun komuniti atau 'kebuniti')
"Kita mengesyorkan program kebun komuniti terus diberikan keutamaan tetapi ada elemen yang kita cadang untuk diberi penambahbaikan terutama sekali membudayakan penglibatan peserta kebun komuniti yang mendapat modal tetapi tidak menguruskan sistem perakaunan yang teratur.
"Kita ingin melihat kebun komuniti diangkat kepada satu tahap nilai komersial. Pembelian dan pengedaran produk daripada kebun komuniti akan dibuat dengan lebih tersusun, bukan hanya untuk makanan tetapi memberi sumbangan kepada bekalan produk makanan," katanya dalam sidang media di sini.