fb fb fb fb fb

Genap setahun TPNW: Malaysia ulangi komitmen terhadap pelucutan senjata nuklear

PUTRAJAYA, 22 Januari - Malaysia terus komited sebagai rakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap pelucutan senjata nuklear sempena genap setahun penguatkuasaan Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW).

Wisma Putra hari ini menyatakan pendirian negara bahawa akan terus bekerjasama secara erat dengan rakan-rakan
yang lain untuk merealisasikan matlamat dunia bebas dari ancaman senjata nuklear.

"Bersempena dengan ulang tahun penguatkuasaan Triti ini, Malaysia terus menggalakkan negara-negara lain untuk
mempercepatkan proses penyertaan mereka terhadap Triti berkenaan sebagai manifestasi komitmen mereka terhadap pelucutan senjata nuklear secara umum dan lengkap serta penghapusan senjata tersebut secara menyeluruh," katanya melalui kenyataan di sini, hari ini.

"Malaysia percaya bahawa TPNW mengukuhkan lagi norma bahawa ancaman senjata nuklear tidak boleh diterima sama sekali dan adalah penting bagi Triti ini untuk diterima pakai oleh semua negara dengan kadar segera."

Malaysia telah menandatangani TPNW sebaik sahaja ia dibuka untuk penandatanganan Negara Pihak pada 20 September 2017 dan meratifikasi Triti tersebut pada 30 September 2020, menjadikan Malaysia sebagai Negara Pihak ke-46 kepada TPNW.

Wisma Putra berkata, sehingga kini sebanyak 86 buah negara telah menandatangani dan 59 buah negara telah meratifikasi Triti tersebut.

Triti yang telah dimeterai di PBB pada 7 Julai 2017 ini melarang segala aktiviti yang berkaitan dengan senjata nuklear dan merupakan surat cara antarabangsa pertama yang mengharamkan segala aktiviti yang berkaitan dengan senjata nuklear secara komprehensif.

Larangan itu termasuklah pembangunan, pengujian, pembuatan, perolehan, pemilikan, penyimpanan, penempatan dan penggunaan senjata tersebut.

Media Baharu