fb fb fb fb fb

Gempa di Turkiye dan Syria :Agong dan Permaisuri zahir ucapan takziah

(FOTO AFP)

KUALA LUMPUR, 6 Februari-Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
menzahirkan ucapan takziah kepada kerajaan Turkiye dan Syria yang terjejas tragedi gempa bumi kuat melanda negara berkenaan.

Baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban dalam musibah sehingga menyebabkan kehilangan nyawa ratusan rakyat dan kerosakan harta benda serta infrastruktur.

Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut mendoakan agar roh-roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh.

Dalam tempoh kesedihan ini, Seri Paduka Baginda berdua dan Malaysia bersolidariti dengan rakyat Turkiye dan Syria serta mendoakan agar mangsa yang masih terperangkap dapat diselamatkan dengan segera manakala mereka yang tercedera dikurniakan kesembuhan segera.

Susulan bencana itu, Al-Sultan Abdullah menyeru semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat untuk keselamatan mangsa dan keluarga mereka.

Di samping itu turut mengadakan solat jenazah ghaib bagi mangsa yang telah kembali ke rahmatullah.

Gempa bumi kuat yang melanda Turkiye dan Syria awal pagi Isnin mengorbankan lebih 2,000 nyawa.

Antara kawasan merekodkan kematian ialah Malatya, Sanliurfa, Diyarbakir dan Osmaniya.

Di Syria pula,korban dicatatkan di Aleppo, Latakia, Hama dan Tartus.

Kebanyakan mangsa maut akibat terperangkap runtuhan bangunan susulan gegaran.

Angka korban dijangka terus bertambah.

 


(Ucapan takziah oleh YDP Agong dan Permaisuri/FOTO FB Istana negara)

Media Baharu