fb fb fb fb fb

PM zahir ucap takziah kepada keluarga mangsa terjejas tragedi gempa bumi di Turkiye

(Seorang lelaki membawa mangsa yang terkorban susulan gempa bumi, di bandar Jandaris, Syria/FOTO REUTERS) 

KUALA LUMPUR, 6 Februari - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta semua negara yang terjejas akibat gempa bumi maut yang melanda wilayah Kahramanmaras di selatan Turkiye pada Isnin.

Anwar melalui hantaran di Facebook berkata pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan berlepas ke Turkiye malam ini dalam usaha membantu pihak berkuasa tempatan untuk misi Mencari dan Menyelamat (SAR) di kawasan terjejas.

“Saya amat sedih dengan kehilangan besar nyawa, kecederaan dan kemusnahan besar-besaran berikutan gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang melanda selatan Turkiye. Gempa bumi besar itu juga menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan jumlah korban besar di negara-negara jiran.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan rasa simpati dan takziah kepada mangsa dan keluarga serta semua negara yang terjejas akibat bencana itu. Semoga Allah Yang Maha Kuasa memberi kesembuhan kepada mangsa dan ketenangan yang cepat kepada yang berduka,” katanya.

Seramai 75 anggota SMART dijadualkan berlepas ke Turkiye malam ini bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan susulan kejadian gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang melanda Gazientep hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir juga akan menyertai pelepasan pasukan SMART.

(Seorang lelaki membawa mangsa yang terkorban susulan gempa bumi, di bandar Jandaris, Syria/FOTO REUTERS) 



Terdahulu, gempa bumi berdurasi 75 saat dilaporkan melanda barat bandar raya Gaziantep dekat sempadan Syria pada pukul 4.17 pagi (9.17 pagi waktu Malaysia).

Gegaran kedua tertinggi dalam sejarah Turkiye selepas 1939 yang berkekuatan 7.9 skala Magnitud itu turut mengakibatkan ancaman tsunami di perairan negara berkenaan.

Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye berhampiran bandar Gaziantep telah meragut 912 nyawa di Turkiye, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria.

Sementara jirannya pula, Syria mengesahkan sehingga kini sudah 237 orang terbunuh manakala 516 orang cedera dengan ada mangsa tertimbus di bawah runtuhan rumah sendiri.

Duta Besar Malaysia ke Turkiya, Sazali Mustafa Kamal ketika dihubungi RTM berkata, seramai 13 rakyat Malaysia yang berada di kawasan bencana tersebut disahkan selamat.

Terdahulu, Wisma Putra berkata setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terjejas dengan kejadian tersebut.

Berita Berkaitan:
Tiada laporan rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi di Turkiye setakat ini
13 rakyat Malaysia terlibat gempa bumi di Turkiye selamat
Tiada rakyat Malaysia terlibat gempa bumi di Turkiye - Zambry



Media Baharu