fb fb fb fb fb

Gempa bumi Turkiye: Pasukan SMART masuk kawasan ‘ground zero' hari ini

(Foto FB Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri)

ADANA, 8 Februari- Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang digerakkan bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye dijangka akan mula memasuki kawasan 'ground zero' (lapangan), hari ini.

Pasukan SMART yang berlepas pada 6 Februari lalu dan tiba semalam kini sedia ke kawasan bencana selepas terdapat kelewatan di Lapangan Terbang Adana.

"Terdapat kelewatan berikutan masalah kesesakan di Lapangan Terbang Adana yang merupakan pintu masuk ke 'ground zero'," menurut perkongsian Facebook rasmi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menerusi maklumat itu, pergerakan pasukan SMART dari sini ke Aziantep mengambil masa kira-kira tiga jam menggunakan jalan darat.

Lebih 7,000 orang terbunuh di Turkiye dan Syria selepas dua gempa bumi terkuat melanda rantau itu dalam hampir satu abad pada Isnin.

Gempa pertama berukuran magnitud 7.8  melanda ketika orang ramai sedang tidur, disusuli gempa kedua berukuran 7.7 magnitud.
 
Terdapat lebih daripada 100 gegaran susulan lebih kecil direkodkan ahli seismologi.
 
Gegaran turut dirasai sejauh Cyprus dan Kaherah.
 
 
 (Foto FB Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri)
 
 
Berita berkaitan:
70 anggota SMART berlepas ke Turkiye bantu operasi menyelamat

 

 

Media Baharu