fb fb fb fb fb

Menteri Agama solat hajat bersama Duta Turkiye

(Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan H.E Selim Yüksel serta jemaah
lain mengaminkan doa yang dibaca)

PUTRAJAYA, 8 Februari- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyertai solat hajat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bersama Duta Turkiye ke Malaysia, H.E Selim Yuksel.

Menurut Datuk Dr Na’im Mokhtar, solat hajat itu diadakan bagi memohon kesejateraan dan keselamatan rakyat Turkiye dan Syria yang terlibat dalam gempa bumi, Isnin lalu.

"Doa solat hajat ini kita mohon kepada Allah S.W.T semoga Allah memberikan keselamatan kepada mereka, kekuatan, kesabaran menghadapi ujian ini dan semoga dengan sedikit solat hajat yang kita adakan ini Allah akan menerima doa kita dan ini sebagai satu tanda solidariti ukhwah kebersamaan kita dengan rakyat di Turkiye, Syria dan juga Lubnan," katanya.

Datuk Dr Na’im sebelum itu telah mengarahkan masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra, dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk mengadakan solat sunat hajat selepas menunaikan solat fardu Maghrib.

Menurutnya, arahan tersebut adalah bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, bagi tujuan mendoakan kesejahteraan buat negara Turkiye dan juga Syria.

Beliau turut mengucapkan takziah dan mendoakan supaya seluruh rakyat Turkiye dan Syria yang terlibat dapat ditemui dengan selamat.

Solat hajat tersebut turut disertai oleh pegawai dari Kedutaan Turkiye dan juga Duta Turkiye ke Malaysia sendiri iaitu H.E Selim Yüksel.

Isnin lalu, gempa bumi kuat telah melanda wilayah Kahramanmaras dan pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada 4.17 pagi waktu tempatan itu berpusat di daerah Pazarcik.


(Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ditemubual media)

Artikel berkaitan
23 juta orang mungkin terjejas akibat gempa bumi di Turkiye, Syria - WHO
Pasukan SMART selamat tiba di Turkiye, bantu mangsa gempa
Gempa bumi: Lebih 2,000 terkorban di Turkiye

Media Baharu