fb fb fb fb fb

Gempa bumi Segamat: Tiada risiko gegaran lebih kuat

Foto FB Malaysian Meteorological Department

KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud yang berlaku di selatan Segamat, Johor pagi tadi disahkan sebagai gempa susulan kedua selepas kejadian berukuran 4.1 magnitud, pada Ahad lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Ambun Dindang, memberi jaminan, dijangka tidak akan berlaku gempa bumi bermagnitud lebih kuat berbanding kejadian Ahad lalu.

"Jadi gempa-gempa susulan ini akan berlaku selagi kawasan-kawasan yang mengalami gempa itu belum mencapai tahap kestabilan. Oleh kerana gempa yang berlaku pada hari Ahad di Johor dengan kekuatan 4.1 dikategorikan sebagai gempa bumi yang lemah maka kita tidak menjangkakan risiko gempa bumi bermanitud lebih tinggi akan berlaku di kawasan tersebut.

"Ini kerana kita tahu bahawa di kawasan Johor sebagai contoh gempa bumi tersebut berlaku di kawasan sesar, garis sesar yang terdapat di selatan Johor seperti garis sesar Mersing. Maka gempa bumi yang berlaku di garis sesar ini biasanya mempunyai manitud yang lebih rendah," katanya ketika dihubungi RTM.

Orang ramai disaran mendapatkan maklumat terkini melalui laman sesawang MET Malaysia, aplikasi mudah alih myCuaca dan myGempa, selain saluran rasmi media sosial jabatan berkenaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM