KUALA LUMPUR, 30 Julai - Satu gempa bumi kuat 6.0 skala ritcher telah berlaku di kawasan Kepulauan Kuril pada pukul 10.47 malam (waktu tempatan).
Gempa itu berpusat di koordinat 50.2° Utara dan 157.6° Timur, iaitu sekitar 322 kilometer di selatan Petropavlovsk Kamchatskiy, Rusia dengan kedalaman 49 kilometer.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam penilaian awalnya mengesahkan, tiada ancaman tsunami dikesan terhadap Malaysia susulan kejadian tersebut.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam turut mengeluarkan kenyataan tersebut kepada umum sebagai sebahagian daripada usaha pemantauan berterusan terhadap aktiviti gempa bumi di rantau ini.
MetMalaysia akan terus memantau situasi dan memberikan maklumat terkini sekiranya terdapat sebarang perkembangan lanjut.
Terdahulu, gempa bumi berukuran 8.8 skala ritcher telah berlaku awal pagi Rabu yang turut mencetuskan amaran tsunami merentasi Lautan Pasifik, termasuk Jepun, Alaska dan Hawaii.
Kawasan utara Kepulauan Kuril terletak berhampiran garis gempa aktif dan sering menjadi tumpuan kejadian seismik besar.