fb fb fb fb fb

RMK13 angkat martabat secara adil dan saksama

Foto Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 30 Julai - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disusun sebagai pelan pembangunan menyeluruh dengan fokus untuk mengangkat martabat secara adil dan saksama, tanpa ada mana-mana kumpulan yang dipinggirkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyediaannya melibatkan sesi libat urus meluas bersama pelbagai pihak berkepentingan merentasi sektor, latar belakang dan wilayah, termasuk kerajaan-kerajaan negeri, demi memastikan suara rakyat benar-benar diangkat dalam perancangan masa depan negara.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut menyertakan foto penyerahan rasmi dokumen RMK13 yang akan dibentangkannya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Perdana Menteri berkata, penyerahan dokumen itu oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menandakan berakhirnya fasa penyediaan rancangan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI amat mengalu-alukan perbahasan dan cadangan konstruktif daripada semua Ahli Parlimen demi memperkukuh dasar dan hala tuju yang digariskan.

MASNIZA AWANG KECHIK