fb fb fb fb fb

Sekolah dijadikan PPS, KPM kenal pasti sekolah terjejas

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek / Foto RTM

BUTTERWORTH, 8 Disember - Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengenal pasti sekolah yang terlibat dengan gelombang pertama banjir yang berlaku di sembilan negeri baru-baru ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, bagaimanapun jumlah kos kerosakan yang dialami susulan bencana itu masih dalam proses penilaian.

Beliau setakat ini, berpuas hati dengan persiapan yang telah dilaksanakan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Sedang kita kenalpasti dan kita sudah ada bilangannya cuma sedang dikenal pasti dari segi unjuran kos yang terlibat.

" Dan kita sedang membuat persiapan untuk kemungkinan lain dan setakat hari ini saya berpuas hati dengan semua persiapan yang telah kita laksanakan.

"Jadi minggu depan kita ada ujian Amali Sains dan juga diikuti oleh ujian Bahasa Inggeris. Jadi, persiapan dalam keadaan sangat baik. Alhamdulillah dan Op Payung telah pun diaktifkan untuk sebarang kejadian atau pun bencana", katanya demikian selepas menyertai Khazanah Reformasi Walk di sini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan sehingga Rabu ini, di tujuh negeri melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor yang berkemungkinan mengakibatkan gelombang kedua banjir.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD