fb fb fb fb fb

Gelombang kedua banjir: Penduduk Gua Musang dinasihatkan berwaspada

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Gua Musang, Nik Raisnan Daud/ Foto RTM

GUA MUSANG, 6 Disember-Hampir 80,000 penduduk di Gua Musang, Kelantan dinasihatkan berwaspada dan membuat persiapan awal bagi menghadapi gelombang kedua bencana banjir.

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Gua Musang, Nik Raisnan Daud berkata, penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan pinggir sungai perlu bersiap sedia menjaga keselamatan ahli keluarga serta harta benda sekiranya penempatan mereka dilanda banjir.

Nik Raisnan turut berkata, penduduk di Gua Musang tidak boleh berada dalam keadaan selesa walaupun daerah ini masih tidak terjejas dengan banjir besar seperti daerah lain.

Katanya, sejak kebelakangan ini berlaku hujan lebat di kawasan Hulu Kelantan yang bersempadan antara negeri Kelantan dan Pahang.

"Saya berharap supaya semua penduduk mestilah dalam keadaan siap siaga dan semua peralatan , dokumen simpan di tempat selamat dan semua barang-barang mereka hendaklah disimpan di tempat tinggi.

"Kita semua daripada segi jentera telah diberi maklum dengan situasi paras air sungai pada semasa ke semasa kepada semua penduduk yang terlibat berhampiran tebing sungai", katanya demikian selepas meninjau kerja membaik pulih tanah runtuh di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli di sini.

Dalam perkembangan lain, Nik Raisnan berkata, jalan lencongan di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli kini giat dilaksanakan bagi membantu 3, 000 penduduk yang terputus hubungan sejak Ahad lalu.

Katanya, jalan lencongan terbabit dijangka siap dalam tempoh seminggu lagi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD