PUTRAJAYA, 6 Disember- Kenaikan kadar premium insurans perubatan masih dalam peringkat rundingan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa keputusan muktamad akan dibuat selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengadakan rundingan semula dengan pihak berkaitan.
"Laporan Bank Negara mahu muktamadkan selepas mereka berunding semula. Jadi setakat ini, proses tersebut masih dirunding semula," katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Manar di sini.
Terdahulu, BNM dalam kenyataan memohon syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) menilai semula harga insurans perubatan dan kesihatan (MHIT) dengan mengambil kira kesan terhadap pemegang polisi.
Langkah itu dibuat susulan cadangan kenaikan harga premium insurans perubatan yang dijangka dilaksanakan tahun hadapan.