fb fb fb fb fb

Gegaran gempa bumi di Mindanao turut dirasai di Limbang

Penjawat awam dan orang ramai keluar dari bangunan Plaza Limbang selepas merasai gegaran pagi tadi/Foto orang awam

LIMBANG, 11 Julai - Ratusan kakitangan kerajaan yang bekerja di bangunan Limbang Plaza dekat sini bergegas keluar apabila merasai gegaran dipercayai kesan gempa bumi kuat di Mindanao, Filipina pada pukul 10.13 pagi tadi.

Gegaran kurang seminit itu berlaku sekitar pukul 10 pagi mencetus rasa panik dalam kalangan penjawat awam yang menempatkan beberapa pejabat kerajaan.

Antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR); Jabatan tanah dan Survei serta Pejabat Daerah dan Residen yang berada di aras 4 dan 5.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa terbabit dikesan berlaku pada koordinat 6.1° Utara dan 123.3° Timur dengan magnitud 6.6 iaitu pada jarak 154 kilometer bahagian Tenggara dari Isabela City, Filipina.

Gegaran pada kedalaman 632 kilometer itu turut dirasai di beberapa kawasan di Sabah antaranya Kota Kinabalu; Kota Belud; Putatan; Labuan dan beberapa kawasan lain termasuk di sebelah utara Sarawak.

Bagaimanapun, gempa bumi itu tidak mencetuskan ancaman tsunami kepada Malaysia.

GRACE AISYAH KEDAYAN