Gangguan rel menurun, Prasarana terus laksana penambahbaikan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 23 Februari- Prestasi perkhidmatan rel kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menunjukkan peningkatan positif dengan hanya mencatatkan kira-kira 50 gangguan direkodkan pada tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan prestasi perkhidmatan rel disebabkan langkah mitigasi dan penyelenggaraan berterusan oleh Prasarana.
  • Maklumat gangguan dipaparkan secara telus melalui saluran rasmi termasuk laman web Prasarana.
  • Komunikasi dengan penumpang, pengurusan orang ramai dan kawalan kesesakan akan terus dipertingkatkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata penurunan itu adalah hasil langkah mitigasi dan penyelenggaraan berterusan oleh pihak berkenaan.

Tambah beliau, maklumat berkenaan dipaparkan secara telus melalui saluran rasmi termasuk laman web Prasarana.

“Jumlah insiden gangguan daripada tahun 2022 hingga 2025 menurun… daripada lebih 220 kejadian pada 2022 kepada kira-kira 50 kejadian tahun lalu.

“Langkah mitigasi dan penyelenggaraan yang dilaksanakan Prasarana membuahkan hasil,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jerlun, Abd Ghani Ahmad di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Anthony, usaha mempertingkatkan komunikasi dengan penumpang, pengurusan orang ramai dan kawalan kesesakan akan terus dilaksanakan bagi mengekalkan mutu perkhidmatan.