fb fb fb fb fb

Gangguan bekalan elektrik KLIA Terminal 2, MOT sedia laporan penuh - Datuk Fahmi

Foto Fail

PUTRAJAYA, 29 Ogos- Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menyediakan laporan berhubung gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), baru-baru ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata laporan itu dijangka siap dalam tempoh dua hingga ke empat minggu akan datang.

"Menteri Pengangkutan memaklumkan bahawa satu laporan akan disediakan bagi menjelaskan secara terperinci insiden yang berlaku.

Selain itu, tindakan yang akan diambil oleh pihak MAHB bagi mengelakkan masalah sama berulang pada masa akan datang," kata Datuk Fahmi dalam sidang media khas, di sini.

Tambahnya, sistem sandaran sedia ada telah memastikan aspek-aspek kritikal di KLIA Terminal 2 tidak terjejas semasa kejadian tersebut berlaku.

Semalam, MAHB mengesahkan satu kejadian gangguan bekalan elektrik sementara telah berlaku di KLIA Terminal 2 susulan insiden lampau kilat melibatkan penyambungan kabel.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM