KOTA KINABALU,10 Julai- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dengan bantuan kontraktor yang dilantik sedang giat melaksanakan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik yang terputus akibat cuaca tidak menentususulan angin kencang dan hujan lebat sejak dua hari lepas.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Idris Mohd Noor, berkata angin kencang serta hujan lebat yang melanda pantai barat dan pedalaman Sabah sejak Jumaat lalu menyebabkan tiang elektrik, pokok tumbang, hakisan tanah serta banjir kilat di beberapa kawasan.
Beliau berkata antara kawasan yang dikenal pasti banyak mengalami gangguan bekalan elektrik disebabkan kejadian ini adalah Kota Kinabalu, Papar, Keningau, Tenom, Kota Belud, Kudat dan Wilayah Persekutuan Labuan.
"Kejadian ini turut mengakibatkan banyak pepasangan SESB mengalami kerosakan teruk dan seterusnya mengakibatkan gangguan bekalan elektrik kepada pengguna.
“Anggota kerja teknikal SESB yang sedang bercuti menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha turut diarahkan untuk membantu dan mempercepatkan proses pemulihan bekalan elektrik di kawasan terlibat,” katanya menerusi kenyataan malam ini.
Idris berkata pasukan SESB siap sedia untuk bertugas berterusan dengan mengambil tindakan pembaikan atas semua aduan yang meningkat mendadak disebabkan cuaca tidak menentu dan keutamaan kerja pemulihan ini diberikan kepada tempat kritikal seperti hospital dan melibatkan keselamatan pengguna.
Justeru, katanya, SESB amat menghargai kesabaran dan kerjasama pengguna sepanjang tempoh pemulihan bekalan ini dan SESB terus bersedia 24 jam memantau bekalan elektrik berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), terdahulu memaklumkan cuaca tekanan rendah di barat Filipina dijangka bergerak menuju ke timur Vietnam mulai hari ini hingga Rabu ini yang berpotensi membawa angin baratan yang kuat dan boleh menyebabkan kejadian garis badai.
Keadaan itu boleh mengakibatkan hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang di utara Sarawak (Bintulu, Miri dan Limbang), barat Sabah dan Labuan hingga Selasa ini dan negeri utara Semenanjung mulai esok hingga Rabu ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara, berkata kira-kira 40 kes kejadian pokok tumbang berlaku di negeri ini sejak malam tadi akibat angin kencang dan hujan lebat itu.
Beliau berkata laporan tertinggi diperoleh daripada daerah Kuala Penyu dengan 10 kes ini diikuti Penampang (8 kes), n lapan kes, Kota Kinabalu (5 kes ),Tuaran (4 kes) dan dan selebihnya di daerah lain termasuk Sipitang, Kunak, Kudat, Kimanis, Papar dan Beaufort.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini,” Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengambil langkah keselamatan,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, dalam kenyataan, memberitahu seorang wanita berusia 51 tahun cedera di bahagian bahu akibat dihempap pokok ketika berkebun di Kampung Kalanggan, Penampang.
Pasukan bomba menerima laporan kejadian pada jam 3.12 petang dan mengalihkan pokok yang tumbang itu dengan bantuan orang kampung, sebelum mengeluarkan mangsa dan operasi tamat jam 5.59 petang.- BERNAMA
(Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Idris Mohd Noor)