fb fb fb fb fb

Gangguan air di 472 kawasan pulih sepenuhnya pagi ini

KUALA LUMPUR, 4 Mei - Sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Selangor yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak petang semalam, pulih sepenuhnya pukul 8 pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri berkata syarikat mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

"Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ingin memaklumkan bahawa bekalan air bagi lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54), Sepang (196), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (27) telah pulih sepenuhnya pada pukul 8 pagi, 4 Mei 2022," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Gangguan bekalan dialami berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi akibat pencemaran di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Dalam pada itu, pengguna disaran untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan air menerusi semua media komunikasi rasmi Air Selangor aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

"Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor," menurut kenyataan itu.

Media Baharu