fb fb fb fb fb

Gagal letak tanda harga kesalahan tertinggi di Negeri Sembilan

(Foto fail)

SEREMBAN DUA, 17 April- Gagal meletakkan tanda harga merupakan kesalahan tertinggi yang direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, sejak awal Januari.

Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, lebih 100 kompaun dikenakan kepada peniaga berjumlah RM16,400.

"Sehingga hari ini, antara kes tertinggi dicatatkan ialah pelabelan tanda harga. Bagi para peniaga yang tidak meletakkan tanda harga kita kenakan kompaun serta merta bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bernilai RM200," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Seremban Dua.

Tambah beliau, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga barangan atau kekurangan bekalan di negeri ini.
 
Katanya, menerusi pemantauan dan pemeriksaan Op Pantau 2023 di 3,667 premis meliputi pemborong, peruncit, pasar raya, pasar awam dan pasar tani mendapati bekalan barangan keperluan asas mencukupi di semua peringkat rantaian perniagaan sepanjang tempoh Ramadan ini.

Kerjasama dengan pemborong dan pengeluar dipertingkat bagi membantu mana-mana peruncit yang mengalami masalah bekalan terutamanya dalam menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

(Muhammad Zahir Mazlan)

Media Baharu