KUALA LUMPUR, 18 November - Seramai hampir 4,000 peserta telah mengikuti 102 program latihan di bawah Future Skills Talent Council (FSTC) sehingga September tahun ini, selaras usaha kerajaan memperkukuh kemahiran tenaga kerja tempatan bagi memenuhi keperluan industri masa depan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata program yang dipacu industri itu merupakan antara strategi utama kerajaan dalam mengekang trend penghijrahan pekerja tempatan ke luar negara.
“Melalui strategi merangkumi inisiatif berdaya saing, latihan dipacu industri, pewujudan pekerjaan bernilai tinggi serta pemerkasaan sistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), kerajaan yakin fenomena migrasi bakat dapat dikurangkan dengan ketara.
"... supaya modal insan Malaysia dapat terus menyumbang kepada pembangunan negara dan memastikan Malaysia kekal berdaya saing di rantau ini", katanya di Dewan Rakyat.
Menurut Datuk Seri Abdul Rahman, langkah pembentukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dilaksanakan secara holistik merangkumi latihan berfokuskan industri, pewujudan pekerjaan bernilai tinggi serta pengukuhan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan, yang meminta penjelasan mengenai pendekatan komprehensif kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap peluang pekerjaan di Singapura, Australia dan Korea Selatan.
