fb fb fb fb fb

Pemuda jatuh dari Jambatan Pulau Pinang ditemukan lemas

Mangsa yang dipercayai terjatuh di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang ditemukan pagi tadi / Foto RTM

BUTTERWORTH, 18 November - Seorang pemuda yang terjatuh dari Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai, petang Ahad lalu, ditemukan lemas.

Mayat Elmi Nur Zamani Aizat, 25 ditemukan selepas operasi pencarian disambung semula pagi tadi, kira-kira lapan kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh, berhampiran Jeti Pelayaran Pulau Pinang di Pengkalan Weld.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.56 petang Ahad, sebelum anggota dari BBP Perai bersama unit penyelam dari Bagan Jermal dan Butterworth dikerahkan ke lokasi kejadian.

Komander Operasi Faizal Saari berkata, mayat dibawa ke Jeti Jabatan Laut Batu Uban dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi pencarian turut dibantu bot Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.45 pagi.

EMMI NORALIZA ADNAN