SEREMBAN, 24 September- Folk Fest 2023 yang mempamerkan keunikan elemen kebudayaan tradisional dan moden dijangka akan menerima lebih 5,000 pengunjung.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pesta rakyat itu merupakan satu kelainan yang dibawakan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam usaha memberi pendedahan selain dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk hadir ke negeri itu khususnya bandar raya Seremban.
"Kita lihat sambutannya agak baik dan kita lihat sendiri bagaimana orang terpaku dengan persembahan mereka.
Saya rasa boleh diteruskan sebagai acara tahunan oleh pihak MBS dan kerjasama daripada MOTAC. Saya harap kerjasama ini akan memberikan kebaikan kepada industri pelancongan di Negeri Sembilan," kata Aminuddin Harun kepada pemberita selepas Perasmian Folk Fest 2023 di Taman Budaya Seremban.
Dalam pada itu, seni tarian dari negara Thailand dan Indonesia turut menjadi daya tarikan dalam pesta itu.
"Kita nak tunjukkan juga sebenarnya ada lagi budaya lain yang kita patut hargai. Di Malaysia sebenarnya kita ada suku kaum orang Siam. Maka,kita nak tunjukkan juga budaya luar yang mungkin kita boleh hayati bersama dan kita raikan bersama dalam kepelbagaian budaya yg ada dekat Malaysia," kata Datuk Masri Razali, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban kepada pemberita.
"Program ini adalah satu sinergi yang sangat baik antara kementerian dengan MBS dan ini harus kita adakan lagi pada tahun depan kerana sambutan amat luar biasa ," kata Mas Midyawan Yahya, Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban kepada pemberita.

(Slot Bicara Adat Bertajuk Adat Negeri Sembilan Dulu, Sekarang dan Masa Depan
turut menghiasi pengisian dalam program berkenaan)