KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Orang ramai diminta berhati-hati dengan sebarang perubahan cuaca terutama fenomena air pasang besar yang dijangka berterusan selama seminggu bermula 2 hingga 8 Januari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata sebanyak 37 penempatan di Terengganu dijangka berdepan risiko banjir berikutan fenomena tersebut.
Menurutnya seramai 400 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu digerakkan bagi memantau situasi di kawasan berisiko.
Pemantauan secara berkala terus dilakukan terutama di kawasan penduduk yang tinggal berhampiran pantai dan sungai.
"Dalam masa yang sama juga pasukan-pasukan bomba dan juga penduduk kampung ini sentiasa membuat pemantauan 24 jam dan mereka ini bergilir-gilirlah untuk membuat rondaan bagi memastikan kalau ada sekiranya kenaikan air secara mendadak mereka sedia untuk bertindak untuk mengosongkan kawasan berpindah ditempat yang selamat", kata Md Hilman ditemui semasa membuat tinjauan air pasang besar di Kampung Losong, Kuala Terengganu.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berkunjung ke pantai menyaksikan fenomena air pasang demi keselamatan mereka.