(Anwar Ibrahim)
PUTRAJAYA, 23 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan program Felo Perdana merupakan satu rencana yang memberi pendedahan kepada anak muda terhadap pemimpin negara, sekali gus sebagai persiapan untuk pimpinan pada masa akan datang.
Peserta bukan sahaja dapat mengenali sosok pimpinan dalam Kerajaan Madani, malah diberi peluang untuk memahami dasar kerajaan serta menambah pengalaman.
"Satu rencana yang memberikan pendedahan kepada anak muda supaya dapat mengenali, bukan saja sosok pimpinan tetapi lebih penting hala kerja (rutin bekerja), tradisi dan budaya kerajaan dalam kerajaan serta pendedahan ini akan memberikan mereka ruang (peluang) untuk lebih memahami dasar-dasar, dan saya percaya (mereka) akan dapat menimba pengetahuan, (dan) pengalaman yang sangat penting.
"Doakan mudah-mudahan program ini yang dipilih khas dalam kalangan anak-anak dengan berprestasi baik dan cemerlang untuk mendapat pendedahan dan bagi memanfaatkan dengan sebaiknya untuk persiapan bagi pimpinan (pada) masa akan datang," katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Felo Perdana di Bangunan Perdana Putra di sini.
Majlis itu turut dihadiri oleh kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Bagi edisi 2023, seramai 56 orang Felo telah dipilih dan akan memulakan tugas mulai hari ini sehingga 31 Disember 2023.
Semua Felo yang dipilih telah melalui sesi orientasi bermula pada 20 hingga 22 Ogos lalu.
Program Felo Perdana mula diperkenalkan pada tahun 2013 dan sejak itu seramai 763 orang Felo telah terpilih untuk menyertai program berkenaan.
Sementara itu, Hannah Yeoh berharap belia yang mengikuti program tersebut dapat memahami cara kerja Kerajaan Perpaduan, serta menyelami konsep Malaysia Madani dalam penugasan mereka.
"Felo Perdana untuk kali ini kami telah serahkan kepada semua kementerian. Kita ada 56 Felo Perdana yang telah melalui proses permohonan, ujian psikometrik dan temu duga serta orientasi.
"Jika mereka adalah siswa akan dapat elaun bulanan RM1,000 dan (bagi) graduan RM2,000. Mereka (juga) ada cuti," katanya pada majlis sama.
Lebih 1,800 permohonan diterima bagi program Felo Perdana tahun ini dan tempoh penugasan Felo adalah antara tiga sehingga enam bulan.
(Anwar Ibrahim (empat, kanan) bergambar bersama felonya Muhamad Firdaus Ali (tiga, kanan)
dan Dayang Nur Syazwanie Abang Redzuan (dua, kiri) serta Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kiri),
Fadillah Yusof (dua, kanan), Hannah Yeoh (kiri)
dan Mohd Zuki Ali (kanan) di Putrajaya)