fb fb fb fb fb

Fasiliti kesihatan daif akan segera dinaik taraf - Dzulkefly

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

PEKAN, 19 Oktober- Fasiliti kesihatan daif akan segera dinaik taraf menerusi peruntukan Belanjawan 2025 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025, semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada RM45.3 billion yang diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), RM1.35 billion akan digunakan untuk menyelenggara prasarana kesihatan.

"...apa yang dipesan oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, penyelenggaraan itu termasuk perkhidmatan, tandas, wad-wad dan lain-lain.

"Datuk Seri Anwar menyebutkan kepada saya tadi untuk melakukan perkara-perkara ini dengan segera. Maknanya perkara ini tidak akan ditunggu pelaksanaannya dilakukan segera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Pahang 2024 di Dataran Bandar Diraja di sini.

Bagi klinik daif katanya, peruntukan RM300 juta diberikan pada Belanjawan 2025 berbanding belanjawan sebelum ini RM150 juta.

Langkah menaik taraf klinik itu, termasuk klinik di kawasan pendalaman dan klinik desa.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 semalam, KKM menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM45.3 bilion tahun depan, berbanding RM41.2 billion tahun ini, untuk menjalankan tugas-tugas asas termasuk memastikan kemudahan perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti, selesa dan mesra rakyat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI