MACHANG, 19 Oktober- Pusat operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) akan diwujudkan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang bermula Januari tahun depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pusat MCBA akan menggunakan fasiliti dan kemudahan kompleks ICQS sedia ada.
Beliau berkata Kompleks ICQS Rantau Panjang dipilih untuk pengoperasian pertama MCBA bersama empat pintu masuk utama lain kerana mempunyai karakter tersendiri iaitu membabitkan pintu masuk darat, udara dan laut.
Empat lagi pintu masuk lain adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan KLIA 2, Kompleks ICQS Bangunan Sultan Iskandar, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor dan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam di Kedah dijangka bermula pada bulan berikutnya.
"Agensi ini adalah agensi yang menyatukan pelbagai agensi. Ia meliputi Imigresen dan semua komponen itu akan bernaung di bawah satu. Jadi, baki dua bulan menjelang 1 Januari ini, permulaannya itu adalah pertama aset sedia ada.
Proses pengambilan aset akan dilakukan secara berperingkat, guna tenaga sedia ada iaitu penyusunan kepada fungsi agensi itu," kata Saifuddin kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui media pada Program Satu Pemimpin Satu Kampung Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA), di Kampung Bukit Tiu, di sini.
Hadir sama, Ketua Pengarah MCBA, Datuk Seri Hazani Ghazali.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Saifuddin berkata sebanyak 104 penjawatan sudah diluluskan dan daripada jumlah itu, 78 penjawatan sudah diisi, setakat ini.
Tambah Saifuddin, pihaknya menjangkakan sebanyak 13,000 penjawatan akan diisi apabila segala proses selesai kelak.