fb fb fb fb fb

Kerajaan sasar bentang RUU berkait tahanan rumah, tahun depan

Foto BERNAMA

MACHANG, 19 Oktober- Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan tahanan di rumah di Parlimen tahun hadapan sekiranya semua proses berjalan lancar.
 
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ketika ini, RUU tersebut sedang digubal oleh Jabatan Penjara dan Jabatan Peguam Negara.

"Kabinet telah memberikan kelulusan dasar. Sekarang, Datuk Nordin dan Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang menggubal RUU itu, kemudian dibentang semula kepada kabinet, sebelum kita bentangkan dalam Parlimen.

Jangkaan kita, kalau betul cara kerja kita ini, kita akan sasar bentangkan pada tahun hadapan. Sama ada sesi awal, sesi pertengahan atau sesi hujung tahun hadapan, itu bergantung kepada kemajuan penggubalan RUU itu sendiri," kata Datuk Saifuddin kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui media pada Program Satu Pemimpin Satu Kampung Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA), di Kampung Bukit Tiu, di sini.
 
Hadir sama, Ketua Pengarah MCBA, Datuk Seri Hazani Ghazali.
 
Semalam media melaporkan, kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Saifuddin berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga berdepan kemungkinan banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda negeri di pantai timur dalam tempoh terdekat.
 
Persediaan dibuat merangkumi latihan kepada anggota serta menyediakan aset yang diperlukan sepanjang penugasan tersebut.
 
Menurutnya, kesiapsiagaan PDRM dilakukan sepanjang tahun meski berdepan dengan perubahan serta sukar diramal ketika ini.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM