SUNGAI BULOH, 15 Jun- Fasa 1 MRT Laluan Putrajaya akan dibuka kepada pengguna mulai 3 petang esok.
Ia memiliki 12 stesen termasuk tiga stesen pertukaran ke perkhidmatan KTM.
Perjalanan dari stesen Kwasa Damansara hingga stesen Kampung Batu sejauh 17.5 kilometer, hanya mengambil masa 24 minit.
Ketua Pegawai Operasi Laluan MRT Rapid Rail, Mohd Ramli Shafie memaklumkan,untuk fasa satu, 20 set tren empat gerabak disediakan.
Setiap satunya, mampu memuatkan seribu 200 penumpang.
(Ketua Pegawai Operasi Laluan MRT Rapid Rail, Mohd Ramli Shafie)
"Untuk pengoperasian sistem MRT ini, pasukan kami terdiri lebih kurang daripada 600 orang telah dilatih sejak tahun lalu dan kini telah bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal untuk mengoperasikan laluan Putrajaya Fasa 1," katanya kepada pemberita.
Pembukaan Fasa Satu MRT Laluan Putrajaya bakal dirasmikan esok oleh Perdana Menteri.
Serentak itu, 13 laluan baharu bas pengantara juga akan beroperasi.
Manakala, tujuh daripada 12 stesen MRT laluan itu turut menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan.